Rabu, Oktober 02, 2024

Peletakan atau perletakan jawatan

Mana satu ejaan yang betul.

Perletakan atau peletakan jawatan.

Perkataan yang betul untuk merujuk kepada tindakan meninggalkan jawatan adalah peletakan jawatan.

Istilah ini digunakan secara rasmi untuk menggambarkan proses di mana seseorang yang memegang jawatan sama ada melalui pilihan raya atau pelantikan mengundurkan diri dari kedudukan tersebut.

Peletakan jawatan merujuk kepada tindakan rasmi seseorang meninggalkan atau berhenti dari jawatan atau kedudukan.

Ini termasuk situasi di mana individu tersebut memilih untuk tidak meneruskan penggal mereka setelah tamat tempoh atau tidak mencuba untuk mendapatkan penggal tambahan.

 

Penggunaan istilah "perletakan jawatan" tidak tepat dalam konteks ini, dan seharusnya dielakkan.

 

Berikut adalah beberapa contoh ayat yang menggunakan istilah peletakan jawatan dalam konteks surat rasmi:

 

1.Dengan ini saya ingin memaklumkan tentang  peletakan jawatan saya sebagai Pengurus Projek di syarikat ini, berkuat kuasa pada 15 Oktober 2024.

  

2.Saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan peletakan jawatan saya setelah mempertimbangkan beberapa faktor peribadi dan kerjaya.

 

3.Surat ini adalah untuk mengesahkan peletakan jawatan saya dari jawatan yang dipegang, dan saya berterima kasih atas semua pengalaman yang telah saya peroleh di sini.

 

4.Saya berharap agar peletakan jawatan ini tidak menjejaskan hubungan baik yang telah terjalin antara saya dan syarikat."

 

5.Sila terima surat ini sebagai pemberitahuan rasmi mengenai peletakan jawatan saya yang akan berkuat kuasa dalam tempoh dua minggu dari tarikh surat ini.

 

Contoh-contoh di atas menunjukkan bagaimana istilah peletakan jawatan digunakan dalam situasi formal berkaitan dengan pengunduran diri dari pekerjaan.

Sabtu, September 14, 2024

Pelancaran atau peluncuran

Sejak akhir-akhir ini muncul perkataan peluncuran dalam bunting, poster hebahan dan lain-lain bagi maksud pelancaran program,buku garis panduan dan sebagainya.

Adakah penggunaan perkataan peluncuran boleh digunakan?

Apakah maksud pelancaran?

Pelancaran merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan atau memperkenalkan(produk,program dan sebagainya)yang baru kepada umum buat kali pertama secara rasmi.

Apakah maksud peluncuran?

Peluncuran bermaksud hal,perbuatan atau proses meluncur,meluncuri atau meluncurkan sesuatu atau tempat untuk meluncur.

Penggunaan perkataan pelancaran telah mantap dan meluas penggunaannya mengikut kesesuaian makna di Malaysia.

Berdasarkan jawapan sumber Khidmat Nasihat DBP bertarikh 20 Januari 2024 penggunaan perkataan peluncuran tidak menjadi kebiasaan di negara kita namun boleh digunakan sebagai variasi penggunaan dalam konteks yang bersesuaian.

Jawapan Khidmat Nasihat DBP bertarikh 5 Julai 2024 juga memaklumkan DBP sedang mengumpulkan kata dan makna baharu setiap hari (termasuk makna baharu "peluncuran")untuk menjadi calon kata masukan atau makna baharu dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.




Selasa, September 10, 2024

Resipi atau resepi

Ejaan yang betul ialah resipi.

Maksud resipi ialah ramuan(senarai bahan) dan peraturan yang diperlukan dalam menyediakan sesuatu makanan atau masakan, cara atau kaedah mencapai sesuatu tujuan.

Contoh ayat

Rempah ratus yang sesuai diperlukan bagi menghasilkan ramuan yang baik untuk resipi rendang ayam.