Jumaat, Jun 21, 2024

Kepentingan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

 Kepentingan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

Pegenalan – Kecerdasan buatan menjadi perhatian semua pihak

Isi 1 – Memajukan bidang perubatan

Isi 2 – Meningkatkan produktiviti industri

Isi 3 – Memajukan sistem pengangkutan

Isi 4 – Memudahkan perkhidmatan pelanggan

Isi 5 - Meningkatkan Kecekapan Pertanian

Isi 6 – memajukan sektor pendidikan

Isi 7 - Memperbaiki Pengalaman Pengguna

Penutup - Kecerdasan buatan mempunyai kepentingan yang amat besar dalam pelbagai aspek kehidupan kita

 

Dalam kepesatan revolusi industri 4.0 ,teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah menjadi topik utama di seluruh dunia. Komitmen kerajaan dalam memupuk ekosistem AI jelas terlihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam berkaitan teknologi itu serta AI Sandbox 2024 bertujuan mewujudkan 900 syarikat pemula AI dan membangunkan 13,000 bakat baharu AI menjelang 2026.Tambahan pula pada 10 Mei 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan tiga lagi inisiatif tambahan iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).Jadi apakah teknologi AI ? Ia merujuk kepada teknologi yang membolehkan mesin dan sistem komputer mempunyai kepintaran seperti manusia. Tugas yang biasanya dilakukan manusia seperti pembelajaran, pemahaman tentang bahasa dan pembuatan keputusan kini dilakukan oleh mesin dan komputer. Justeru  AI dilihat semakin penting dan membantu memenuhi  pelbagai aspek kehidupan kita.

 

 

Teknologi AI dapat memajukan bidang perubatan. Dengan menggunakan algoritma pembelajaran mesin, AI mampu mengesan penyakit dengan lebih cepat dan tepat. Contohnya, AI dapat menganalisis imej perubatan seperti X-ray dan MRI untuk mengesan kanser pada peringkat awal dan meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh. Selain itu, AI juga membantu dalam penyelidikan perubatan dengan mempercepatkan proses penemuan ubat baru melalui analisis data utama(Big Data).Pengurusan rekod pesakit pula lebih sistematik,selamat dan mudah diakses apabila diperlukan oleh doktor.

 

Di samping itu AI turut memberi impak besar dalam sektor industri. Dalam bidang pembuatan, robot yang dikuasakan oleh AI digunakan untuk melaksanakan tugas yang sukar dan berbahaya selain meningkatkan produktiviti dan keselamatan pekerja. AI juga digunakan dalam pengurusan rantaian bekalan untuk meramalkan permintaan pasaran dan mengoptimumkan stok inventori. Ini mengurangkan pembaziran dan kos operasi, sekaligus meningkatkan keuntungan syarikat.

 

Dalam sektor pengangkutan, AI membantu meningkatkan keselamatan dan kecekapan. Kereta pandu sendiri.Teknologi ini dibangunkan oleh syarikat seperti Tesla dan Google yang menggunakan AI untuk mengenal pasti dan mengelakkan halangan di jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan. AI juga digunakan dalam sistem pengurusan trafik pintar yang menyelaras lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik.Justeru dapat mengurangkan kesesakan serta menjimatkan masa pengguna jalan raya.

 

AI juga membawa revolusi dalam sektor perkhidmatan pelanggan. Pelanggan akan mengalami pengalaman baru yang lebih baik ketika menerima perkhidmatan.Ruang sembang(Chatbot) yang dikuasakan oleh AI dapat menjawab pertanyaan pelanggan dengan cepat dan tepat, meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengurangkan kos operasi syarikat. Selain itu AI membantu menganalisis maklum balas pelanggan dengan lebih tepat dan sistematik untuk memahami kehendak mereka. Ini membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan relevan kepada pelanggan.

 

 

AI turut memainkan peranan penting bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian. Dengan menggunakan teknologi AI, petani dapat memantau kesihatan tanaman secara semerta(real-time), mengesan awal penyakit tanaman dan mengoptimumkan penggunaan air dan baja. kelebihan AI memberi analisis data mendalam berasaskan cuaca, keadaan tanah serta kadar kelembapan membolehkan AI menawarkan cadangan lebih baik berhubung masa penanaman, penggunaan baja dan pengairan yang betul, sekali gus mampu meningkatkan hasil pertanian. Dron yang dikuasakan oleh AI juga digunakan untuk menyemai benih dan menyembur racun perosak secara tepat, mengurangkan pembaziran sumber manusia dan meningkatkan hasil pertanian.

 

Begitu juga dengan sektor pendidikan. AI boleh mencipta pengalaman pembelajaran peribadi yang disesuaikan dengan keperluan dan gaya pembelajaran setiap murid. AI boleh menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut keperluan, kemahiran dan minat setiap murid serta membantu mereka belajar dengan lebih berkesan. Selain itu AI menyediakan tutor dan pembantu maya yang boleh membantu pelajar memahami konsep yang sukar terutama subjek sains dan matematik. Pembantu peribadi berasaskan AI boleh membantu pelajar mengurus jadual belajar, mengingatkan mereka tentang tugasan dan memberikan sokongan berterusan.

 

Akhir sekali, AI dapat meningkatkan  pengalaman  pengguna yang berkualiti dalam pelbagai aplikasi harian. Contohnya, AI digunakan dalam platform penstriman seperti Netflix dan Spotify untuk memberikan cadangan yang lebih tepat berdasarkan minat pengguna. AI juga digunakan dalam aplikasi penterjemahan bahasa, membolehkan komunikasi lebih lancar antara individu yang berbeza bahasa. Selain itu, pembantu maya seperti Siri dan Google Assistant membantu pengguna menjalankan tugas harian dengan lebih mudah dan efisien.

 

Secara keseluruhannya, kecerdasan buatan mempunyai kepentingan yang amat besar dalam semua aspek. Dari bidang perubatan, industri, pengangkutan, perkhidmatan pelanggan, pertanian, hingga pengalaman pengguna, AI telah membawa perubahan yang positif dan meningkatkan kualiti hidup kita. Walaupun terdapat cabaran dan kebimbangan mengenai kesan negatif AI seperti kehilangan pekerjaan dan isu privasi serta boleh mengurangkan keupayaan manusia berfikir secara kreatif dan analitikal jika disalahgunakan adalah penting untuk kita terus mengawal dan mengembangkan teknologi ini dengan bijak dan bertanggungjawab.Dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa AI terus menjadi alat yang membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat sejagat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan