Peribahasa kaum peribumi Amerika Utara yang berbunyi apabila pokok terakhir ditebang, ikan terakhir dimakan, dan sungai terakhir tercemar barulah kamu sedar bahawa wang tidak boleh dimakan memberi maksud yang mendalam akibat pemusnahan alam sekitar. Ia mencerminkan pandangan dunia mereka yang sangat menghargai alam sekitar dan menekankan kepentingan menjaga keseimbangan ekologi.Peribahasa ini juga menggambarkan sifat tamak manusia yang melihat keuntungan ekonomi semata-mata berbanding keseimbangan ekologi dan alam sekitar. Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada manusia. Ia meliputi udara, air, tanah, hutan dan semua hidupan di bumi. Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab setiap individu. Kualiti hidup kita serta generasi akan datang bergantung kepada alam sekitar. Terdapat beberapa kepentingan menjaga alam sekitar yang perlu kita fahami dan hargai.
Pertama sekali, menjaga alam sekitar dapat memastikan kelestarian sumber semula jadi seperti air, udara, dan tanah amat penting untuk kelangsungan hidup manusia dan makhluk lain. Sumber alam yang tidak dijaga akan tercemar dan tidak dapat digunakan lagi. Contohnya pencemaran air akibat pembuangan sisa industri boleh menyebabkan air sungai tercemar dan tidak selamat untuk diminum. Kajian oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati sebanyak 672 sungai di seluruh negara dan empat peratus atau 25 sungai daripadanya termasuk dalam kategori tercemar.Oleh itu, usaha yang sedang dilakukan Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan kebersihan air dan mengurangkan pencemaran bagi memastikan bekalan air yang bersih dan mencukupi amat dihargai.
Selain itu, alam sekitar sangat penting untuk kesihatan manusia. Udara yang bersih dan segar adalah asas kepada kehidupan yang sihat. Pencemaran udara akibat asap kenderaan dan kilang boleh menyebabkan pelbagai penyakit pernafasan seperti asma dan bronkitis. Dengan menjaga alam sekitar, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan memastikan udara yang kita hirup adalah bersih dan sihat. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan masyarakat. Contohnya usaha Kementerian Alam Sekitar untuk memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui pembangunan stesen pengawasan udara sangat dialu-alukan.
Selain itu, menjaga alam sekitar juga memberi kesan positif kepada ekonomi. Sektor pelancongan sangat bergantung kepada keindahan dan kelestarian alam sekitar. Destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi seperti pulau, pantai dan taman negara dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Ini akan menjana pendapatan kepada negara dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Dengan menjaga alam sekitar, kita dapat memastikan industri pelancongan terus berkembang dan memberi manfaat ekonomi yang besar kepada negara. Contohnya Taman negara di Malaysia terus menjadi destinasi pilihan bagi alam semula jadi dan pengembaraan oleh pelancong domestik dan antarabangsa sehingga menjana pendapatan RM4.53 juta, meningkat sebanyak 13 peratus pada 2016.
Rumusannya menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama setiap individu. Kepentingannya meliputi aspek kelestarian sumber semula jadi, kesihatan manusia, pemeliharaan biodiversiti, ekonomi, dan kesejahteraan mental. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha menjaga alam sekitar demi masa depan yang lebih baik dan sejahtera.