Peribahasa kaum peribumi Amerika Utara yang berbunyi apabila
pokok terakhir ditebang, ikan terakhir dimakan, dan sungai terakhir tercemar barulah
kamu sedar bahawa wang tidak boleh dimakan memberi maksud yang mendalam akibat
pemusnahan alam sekitar. Ia mencerminkan pandangan dunia mereka yang sangat
menghargai alam sekitar dan menekankan kepentingan menjaga keseimbangan
ekologi.Peribahasa ini juga menggambarkan sifat tamak manusia yang melihat
keuntungan ekonomi semata-mata berbanding keseimbangan ekologi dan alam
sekitar. Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada
manusia. Ia meliputi udara, air, tanah,
hutan dan semua hidupan di bumi. Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab
setiap individu. Kualiti hidup kita serta generasi akan datang bergantung kepada
alam sekitar. Terdapat beberapa kepentingan menjaga alam sekitar yang perlu
kita fahami dan hargai.
Pertama sekali,
menjaga alam sekitar dapat memastikan kelestarian sumber semula jadi seperti
air, udara, dan tanah amat penting untuk kelangsungan hidup manusia dan makhluk
lain. Sumber alam yang tidak dijaga akan
tercemar dan tidak dapat digunakan lagi. Contohnya pencemaran air akibat
pembuangan sisa industri boleh menyebabkan air sungai tercemar dan tidak
selamat untuk diminum. Kajian oleh
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati sebanyak 672 sungai di seluruh negara dan
empat peratus atau 25 sungai daripadanya termasuk dalam kategori tercemar.Oleh
itu, usaha yang sedang dilakukan Jabatan Alam Sekitar untuk memastikan kebersihan air dan
mengurangkan pencemaran bagi memastikan bekalan air yang bersih dan
mencukupi amat dihargai.
Selain itu, alam
sekitar sangat penting untuk kesihatan manusia. Udara yang bersih dan
segar adalah asas kepada kehidupan yang sihat. Pencemaran udara akibat asap
kenderaan dan kilang boleh menyebabkan pelbagai penyakit pernafasan seperti
asma dan bronkitis. Dengan menjaga alam sekitar, kita dapat mengurangkan pencemaran
udara dan memastikan udara yang kita hirup adalah bersih dan sihat. Ini secara
tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan masyarakat. Contohnya
usaha Kementerian Alam Sekitar untuk
memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen
Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui
pembangunan stesen pengawasan udara sangat dialu-alukan.
Seterusnya,
menjaga alam sekitar juga dapat memelihara biodiversiti. Biodiversiti
merujuk kepada kepelbagaian spesies hidupan di bumi termasuk flora dan fauna.
Setiap spesies mempunyai peranan penting dalam ekosistem dan menyumbang kepada
keseimbangan alam. Jika kita tidak menjaga alam sekitar, banyak spesies akan
terancam dan pupus. Kehilangan satu spesies boleh menyebabkan rantaian
ekosistem terjejas dan akhirnya memberi kesan negatif kepada manusia. Oleh itu,
usaha untuk memelihara habitat semula jadi dan mengurangkan aktiviti yang
merosakkan alam adalah sangat penting.Contohnya pada tahun 2019 badak sumatera
telah diisytiharkan pupus sepenuhnya di hutan Malaysia. Iman adalah badak sumatera terakhir Malaysia dan disahkan mati kerana menghidap kanser. Badannya
diawet dan disimpan di muzium sebagai pameran. Justeru tindakan kerajaan melalui
PERHILITAN menguatkuasakan Akta
Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sangat bertepatan bagi mengelakkan binatang liar mengalami
kepupusan.
Selain itu,
menjaga alam sekitar juga memberi kesan positif kepada ekonomi. Sektor
pelancongan sangat bergantung kepada keindahan dan kelestarian alam sekitar.
Destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi seperti
pulau, pantai dan taman negara dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan
luar negara. Ini akan menjana pendapatan kepada negara dan membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk setempat. Dengan menjaga alam sekitar, kita dapat
memastikan industri pelancongan terus berkembang dan memberi manfaat ekonomi
yang besar kepada negara. Contohnya
Taman negara di Malaysia terus menjadi
destinasi pilihan bagi alam semula jadi dan pengembaraan oleh pelancong
domestik dan antarabangsa sehingga menjana pendapatan RM4.53 juta, meningkat sebanyak 13 peratus
pada 2016.
Akhir sekali,
menjaga alam sekitar juga penting untuk kesejahteraan mental dan emosi
manusia. Alam semula jadi yang indah dan tenang dapat memberi ketenangan
dan mengurangkan tekanan. Aktiviti rekreasi seperti berjalan di taman, berkelah
di pantai, atau mendaki gunung dapat membantu mengurangkan stres dan
meningkatkan kesejahteraan mental. Oleh itu, usaha untuk memelihara keindahan
alam semula jadi adalah penting bagi memastikan kita dapat menikmati manfaat
psikologi yang ditawarkannya.
Rumusannya
menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama setiap individu.
Kepentingannya meliputi aspek kelestarian sumber semula jadi, kesihatan
manusia, pemeliharaan biodiversiti, ekonomi, dan kesejahteraan mental. Oleh
itu, marilah kita bersama-sama berusaha menjaga alam sekitar demi masa depan
yang lebih baik dan sejahtera.