Memaparkan catatan dengan label Karangan Laporan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan Laporan. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 17, 2020

Laporan Perkhemahan Pengakap

Karangan Laporan : Laporan Perkhemahan Pengakap
Soalan : Unit beruniform di sekolah kamu telah mengadakan perkhemahan.
Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis laporan tentang perkhemahan tersebut..
Tulis laporan itu selengkapnya.



  Pada 25 hingga 26 April 2013, Persatuan Pengakap Sekolah Kebangsaan Kerteh telah mengadakan perkhemahan di Air Terjun Sekayu. Perkhemahan selama dua hari ini telah disertai oleh 35 orang pengakap dan 5 orang guru pengiring. 

  Aktiviti perkhemahan ini bertujuan untuk membina ketahanan fizikal dan mental, membentuk keyakinan diri dan memupuk semangat bekerjasama dalam kalangan peserta. Selain itu, aktiviti ini juga bertujuan untuk menyampaikan rasa cinta terhadap alam sekitar.

  Sepanjang perkhemahan itu, para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai seorang ketua yang bertanggunjawab memimpin ahli kumpulannya. Sebarang masalah yang timbul dalam kalangan ahli, akan dibincang dengan ketua kumpulan.

  Banyak aktiviti yang telah dijalankan sepanjang perkhemahan itu. Antaranya ialah merentas hutan, kawad kaki, lakonan dan sebagainya. Aktiviti ini berjalan lancar dengan kerjasama dari semua peserta.

  Perkhemahan ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Para peserta dapat mengutip pengalaman berharga dan pelbagai pengetahuan baru. Malah hubungan antara pengakap bertambah erat.

Disediakan oleh                                                                                          27 April 2013
(Ikhwan Hadi)
Setiausaha Persatuan Pengakap
SK Kerteh


Khamis, Ogos 31, 2017

Laporan Lawatan Ke Ladang Teh

Pada 9 Januari yang lalu seramai 30 ahli persatuan Pengguna Sekolah Kebangsaan Kaki Bukit telah mengadakan lawatan ke Ladang Teh. Kami bertolak dari sekolah pada pukul 8.30 pagi. Kami tiba di kilang tersebut pada pukul 9.30 pagi.

    Kami disambut oleh Encik Raymond, pengurus ladang. Beliau menerima kami dengan perasaan gembira. Beliau memberi penerangan ringkas tentang sejarah ladang, keluasan ladang dan bilangan pekerja yang terlibat.  Encik Raymond menjelaskan beliau ialah generasi yang ke sebelas mewarisi ladang teh datuknya. Selepas itu, kami dibawa melawat sekitar ladang. Kami dapat pengalaman melihat bagaimana daun teh dipetik.

    Selepas  itu kami di bawa melawat kilang teh. Di sini kami melihat bagaimana daun teh di proses untuk dijadikan serbuk teh.Daripada proses pengeringan hinggalah teh dibungkus dalam paket.

    Selesai melawat, kami dihidangkan jamuan ringan. Sangat seronok makan roti bakar bersama secawan teh.Pengurus kilang menghadiahkan sebungkus teh kepada kami sebagai cenderamata.Guru pengiring juga menghadiahkan cenderamata  kepada Encik Raymond sebagai tanda kenang- kenangan.


    Kami berasa amat bangga dan gembira dapat melawat ladang ini.Lawatan ini amat bermakna bagi kami kerana banyak ilmu dan pngalaman yang diperoleh. Kami berharap dapat melawat lagi ladang ini pada masa akan datang.


Laporan disediakan oleh,                                                                                  15 JANUARI 2017

           nazri
(NAZRI BIN ALIAS)
Setiausaha,
Persatuan Pengguna,
Sekolah Kebangsaan Kaki Bukit,
Banting,
Selangor Darul Ehsan



  

Sabtu, Mac 10, 2012

Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Pameran Buku.

                                  Laporan Lawatan Sambil Belajar ke Pameran Buku.






Pada hari Sabtu 29 Februari 2012 yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia, Sekolah Kebangsaan Padang Air, Kemaman telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pameran buku, di Dewan Pusat Dagangan Terengganu. Lawatan ini disertai oleh 30 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat.




Tujuan utama  lawatan ini diadakan  adalah untuk mengenali buku-buku bermutu yang sesuai dibeli oleh murid.Selain itu murid-murid juga dapat menimba pengetahuan tentang perjalanan pameran buku.Di samping itu murid juga dapat menambah pengalaman semasa mengikuti  lawatan sambil belajar.



Kami tiba di Dewan Pusat Dagangan Terengganu pukul 9.30 pagi. Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah sudut pameran buku terbaharu. Semasa berada di bahagian ini kami berpeluang melihat pelbagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP dan syarikat penerbitan buku yang lain.

Selepas itu, kami menuju ke setiap gerai buku yang disediakan.Di situ terdapat penerbit yang mempamerkan dan mempromosi buku daripada syarikat masing-masing.Kami meluangkan masa untuk melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan di setiap gerai.

Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku rujukan UPSR dan buku cerita. Kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak penerbit buku tersebut.Ada juga rakan kami yang menyertai pertandingan kuiz sempena pameran buku tersebut.



Sesungguhnya pameran buku kali ini amat berbeza dengan pameran buku yang pernah dianjurkan sekolah kami.Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai  acara menarik seperti pertandingan bercerita dan mewarna yang disediakan untuk pengunjung khususnya murid-murid sekolah.Oleh itu lawatan ini memberi pengetahuan dan dapat menambahkan pengalaman kepada semua ahli.  Harapan kami agar lebih ramai murid di sekolah ini akan menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.




Laporan disediakan oleh,                     2  Mac 2012.



………………………………

(MUHAMMAD AIMAN BIN ALI)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Padang Air.

Sabtu, Jun 26, 2010

Format Karangan Laporan

Karangan Jenis Laporan.
  
 Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.
Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami. 
 Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau logik.
Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.
Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha. 
  Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

 Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.
Gunakan bahasa yang ringkas dan padat

Tajuk Laporan      

 Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris. 
atau ditulis dengan huruf besar semuanya. 
Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah.
Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang.

Isi Laporan   :       
Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor:        
Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir.

Tarikh          :       
Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.

Tandatangan pelapor      
  Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor         :     
Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor   :
Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma  di 
hujungnya .

Seterusnya            ditulis nama persatuan yang diwakili