Ahad, Disember 31, 2023

Selamat Tahun Baharu 2024

Perkataan  baru ialah kata bantu.

Kata baru lazimnya digunakan seperti dalam konteks dia baru sampai,baru sebentar tadi,baru sedar,baru-baru ini dan sebagainya.

Padanan bahasa Inggerisnya ialah just.








Perkataan Baharu ialah kata adjektif(Sifat)

Kata Baharu lazimnya digunakan dalam konteks seperti buku edisi baharu dan siswazah baharu dan tahun baharu.

Padanan bahasa Inggerisnya ialah new.



Jumaat, Disember 29, 2023

Maksud peribahasa alah bisa tegal biasa

Peribahasa ini bermaksud sesuatu perkara yang sukar untuk dilakukan tetapi dipraktikkan berulang kali sehingga terasa mudah.

Perkara yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.

Segala kesukaran dan sebagainya tidak lagi terasa sesudah biasa(mengalami,melakukan dan sebagainya sesuatu)


Dalam kehidupan ini, kita kerap dihadapi dengan pelbagai cabaran dan kesulitan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mudah putus asa kerana seperti peribahasa yang berbunyi "Alah bisa tegal biasa."

Peribahasa ini bermaksud setiap perkara atau perbuatan yang pada permulaannya kelihatan sukar atau mustahil akhirnya dapat diatasi dengan usaha dan ketekunan.

 

Sebagai contoh, apabila saya memutuskan untuk mengejar ijazah sarjana, ramai rakan sejawat memberitahu bahawa perjalanan itu akan sukar dan dipenuhi dengan ujian tetapi dengan semangat tidak mudah menyerah kalah, saya memulakan langkah pertama dalam menempuh pendidikan tinggi.

Walaupun pada awalnya terasa berat dengan masa, usaha dan tekad yang kukuh saya berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah sarjana.

Dalam dunia pekerjaan, terkadang tugas yang dihadapi juga kelihatan rumit dan membingungkan. Namun, dengan pendekatan yang betul dan sikap positif, saya belajar bahawa apa sahaja boleh diatasi.

Kerap kali, penyelesaian untuk masalah kompleks boleh ditemui dengan cara yang lebih mudah jika kita bersedia berfikir kreatif dan tidak menyerah begitu sahaja.

 

Keperluan peribahasa "Alah bisa tegal biasa" juga dapat dilihat dalam membina hubungan interpersonal. Apabila kita berhadapan dengan konflik atau kesulitan dalam berkomunikasi, janganlah terus menyerah.

Dengan pendekatan yang bijak ,sabar dan niat baik banyak masalah hubungan boleh diselesaikan dengan cara yang positif dan menyokong.

 

Secara keseluruhannya, peribahasa "Alah bisa tegal biasa" menjadi sumber inspirasi bagi kita untuk tetap bersungguh-sungguh dan tidak mengaku kalah dengan kesulitan.

Setiap cabaran adalah peluang untuk berkembang dan belajar. Dengan semangat tak menyerah, kita boleh mengubah apa yang kelihatan sukar menjadi sesuatu yang biasa dan dapat diatasi.


Selasa, Disember 26, 2023

Maksud peribahasa berkaitan sirih, ikan dan belut.

Sirih

1.Sirih pulang ke gagangnya.

Kembali ke tempat asalnya.

 

2.Sirih naik, junjungan naik.

Mendapat untung dan bahagia silih berganti.

 

3.Sirih naik,junjungan patah.

Baru hendak mendapat kesenangan, tiba-tiba mendapat bencana pula.

 

4.Sirih berlipat datang sendiri.

Mendapat orang yang dicintai dengan tak payah berusaha; beroleh keuntungan dengan mudah.

 

5.Ayam berinduk,sirih berjunjung.

Tiap-tiap yang lemah harus mendapat bantuan dan perlindungan.

 

6.Seikat bagai sirih,serumpun bagai serai.

Seia-sekata ,sepakat,muafakat.

 

Ikan

1.Ikan pulang ke lubuk.

Kembali ke tempat asalnya.

 

2.Ikan di hulu tuba di hilir.

Perbuatan yang sia-sia.

 

3.Ikan tergantung,kucing tunggu.

Mengharapkan untuk memperoleh barang yang diingini.

 

4.Ikan digulai sudah melompat.

Nasib yang malang.

 

5.Melukah ikan dalam panai.

Menganiaya orang yang sangat rapat dengan kita.

 

6.Seperti ikan kena tuba.

Sudah tidak berdaya lagi.

 

7.Seperti ikan dalam belat

Berasak-asak di tempat yang sempit.

 

8.Ular bukan,ikan pun bukan.

Tidak dapat ditentukan baik atau buruknya.

 

9.Terkilat ikan dalam air,(aku) sudah tahu jantan betina

Sangat pandai dan awas dalam menangkap perkataan orang.

 

10.Tuba habis, ikan tak dapat.

Pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah

  

Belut

 

1.Belut pulang ke lumpur.

Bermaksud kembali ke tempat asalnya.

 

2.Belut kena ranjau.

Sepandai-pandai orang, ada kalanya salah juga.

 

3.Bagai belut diregang.

Tinggi dan kurus.

 

4.Menyukat belut.

Pekerjaan yang tak mungkin berhasil.

 

5.Sekerat ular,sekerat belut.

Tidak tentu pihak mana yang diikuti (Orang yang munafik)

 

6.Bagai si kudung pergi berbelut.

Pekerjaan yang sia-sia.

 

7.Belut jatuh ke lumpur.

Senang sekali.