Jumaat, Jun 21, 2024

Kepentingan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

 Kepentingan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)

Pegenalan – Kecerdasan buatan menjadi perhatian semua pihak

Isi 1 – Memajukan bidang perubatan

Isi 2 – Meningkatkan produktiviti industri

Isi 3 – Memajukan sistem pengangkutan

Isi 4 – Memudahkan perkhidmatan pelanggan

Isi 5 - Meningkatkan Kecekapan Pertanian

Isi 6 – memajukan sektor pendidikan

Isi 7 - Memperbaiki Pengalaman Pengguna

Penutup - Kecerdasan buatan mempunyai kepentingan yang amat besar dalam pelbagai aspek kehidupan kita

 

Dalam kepesatan revolusi industri 4.0 ,teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah menjadi topik utama di seluruh dunia. Komitmen kerajaan dalam memupuk ekosistem AI jelas terlihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam berkaitan teknologi itu serta AI Sandbox 2024 bertujuan mewujudkan 900 syarikat pemula AI dan membangunkan 13,000 bakat baharu AI menjelang 2026.Tambahan pula pada 10 Mei 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan tiga lagi inisiatif tambahan iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).Jadi apakah teknologi AI ? Ia merujuk kepada teknologi yang membolehkan mesin dan sistem komputer mempunyai kepintaran seperti manusia. Tugas yang biasanya dilakukan manusia seperti pembelajaran, pemahaman tentang bahasa dan pembuatan keputusan kini dilakukan oleh mesin dan komputer. Justeru  AI dilihat semakin penting dan membantu memenuhi  pelbagai aspek kehidupan kita.

 

 

Teknologi AI dapat memajukan bidang perubatan. Dengan menggunakan algoritma pembelajaran mesin, AI mampu mengesan penyakit dengan lebih cepat dan tepat. Contohnya, AI dapat menganalisis imej perubatan seperti X-ray dan MRI untuk mengesan kanser pada peringkat awal dan meningkatkan peluang pesakit untuk sembuh. Selain itu, AI juga membantu dalam penyelidikan perubatan dengan mempercepatkan proses penemuan ubat baru melalui analisis data utama(Big Data).Pengurusan rekod pesakit pula lebih sistematik,selamat dan mudah diakses apabila diperlukan oleh doktor.

 

Di samping itu AI turut memberi impak besar dalam sektor industri. Dalam bidang pembuatan, robot yang dikuasakan oleh AI digunakan untuk melaksanakan tugas yang sukar dan berbahaya selain meningkatkan produktiviti dan keselamatan pekerja. AI juga digunakan dalam pengurusan rantaian bekalan untuk meramalkan permintaan pasaran dan mengoptimumkan stok inventori. Ini mengurangkan pembaziran dan kos operasi, sekaligus meningkatkan keuntungan syarikat.

 

Dalam sektor pengangkutan, AI membantu meningkatkan keselamatan dan kecekapan. Kereta pandu sendiri.Teknologi ini dibangunkan oleh syarikat seperti Tesla dan Google yang menggunakan AI untuk mengenal pasti dan mengelakkan halangan di jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan. AI juga digunakan dalam sistem pengurusan trafik pintar yang menyelaras lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik.Justeru dapat mengurangkan kesesakan serta menjimatkan masa pengguna jalan raya.

 

AI juga membawa revolusi dalam sektor perkhidmatan pelanggan. Pelanggan akan mengalami pengalaman baru yang lebih baik ketika menerima perkhidmatan.Ruang sembang(Chatbot) yang dikuasakan oleh AI dapat menjawab pertanyaan pelanggan dengan cepat dan tepat, meningkatkan kepuasan pelanggan dan mengurangkan kos operasi syarikat. Selain itu AI membantu menganalisis maklum balas pelanggan dengan lebih tepat dan sistematik untuk memahami kehendak mereka. Ini membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan relevan kepada pelanggan.

 

 

AI turut memainkan peranan penting bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian. Dengan menggunakan teknologi AI, petani dapat memantau kesihatan tanaman secara semerta(real-time), mengesan awal penyakit tanaman dan mengoptimumkan penggunaan air dan baja. kelebihan AI memberi analisis data mendalam berasaskan cuaca, keadaan tanah serta kadar kelembapan membolehkan AI menawarkan cadangan lebih baik berhubung masa penanaman, penggunaan baja dan pengairan yang betul, sekali gus mampu meningkatkan hasil pertanian. Dron yang dikuasakan oleh AI juga digunakan untuk menyemai benih dan menyembur racun perosak secara tepat, mengurangkan pembaziran sumber manusia dan meningkatkan hasil pertanian.

 

Begitu juga dengan sektor pendidikan. AI boleh mencipta pengalaman pembelajaran peribadi yang disesuaikan dengan keperluan dan gaya pembelajaran setiap murid. AI boleh menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut keperluan, kemahiran dan minat setiap murid serta membantu mereka belajar dengan lebih berkesan. Selain itu AI menyediakan tutor dan pembantu maya yang boleh membantu pelajar memahami konsep yang sukar terutama subjek sains dan matematik. Pembantu peribadi berasaskan AI boleh membantu pelajar mengurus jadual belajar, mengingatkan mereka tentang tugasan dan memberikan sokongan berterusan.

 

Akhir sekali, AI dapat meningkatkan  pengalaman  pengguna yang berkualiti dalam pelbagai aplikasi harian. Contohnya, AI digunakan dalam platform penstriman seperti Netflix dan Spotify untuk memberikan cadangan yang lebih tepat berdasarkan minat pengguna. AI juga digunakan dalam aplikasi penterjemahan bahasa, membolehkan komunikasi lebih lancar antara individu yang berbeza bahasa. Selain itu, pembantu maya seperti Siri dan Google Assistant membantu pengguna menjalankan tugas harian dengan lebih mudah dan efisien.

 

Secara keseluruhannya, kecerdasan buatan mempunyai kepentingan yang amat besar dalam semua aspek. Dari bidang perubatan, industri, pengangkutan, perkhidmatan pelanggan, pertanian, hingga pengalaman pengguna, AI telah membawa perubahan yang positif dan meningkatkan kualiti hidup kita. Walaupun terdapat cabaran dan kebimbangan mengenai kesan negatif AI seperti kehilangan pekerjaan dan isu privasi serta boleh mengurangkan keupayaan manusia berfikir secara kreatif dan analitikal jika disalahgunakan adalah penting untuk kita terus mengawal dan mengembangkan teknologi ini dengan bijak dan bertanggungjawab.Dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa AI terus menjadi alat yang membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat sejagat.

Hobi membaca

Setiap orang pasti mempunyai hobi bagi mengisi waktu lapang. Hobi bukan sahaja menyeronokkan tetapi membantu kita menguruskan tekanan dan menjaga kesejahteraan mental. Hobi yang paling saya gemari ialah membaca buku. Membaca telah menjadi sebahagian tabiat harian saya sejak kecil dan sehingga kini.

            Kenapa saya memilih hobi membaca.Faktor terpenting ialah membaca buku dapat mengembangkan pengetahuan saya dalam pelbagai bidang. Setiap buku yang saya baca memberikan saya maklumat baru dan pandangan yang berbeza tentang dunia. Contohnya, melalui buku sejarah, saya dapat memahami peristiwa penting yang membentuk dunia kita hari ini. Selain itu, buku berkaitan sains memberikan saya pengetahuan mendalam tentang fenomena alam dan teknologi terkini. Membaca juga memperkenalkan saya kepada pelbagai budaya kaum dan memperkaya pemahaman saya tentang cara hidup orang lain di seluruh dunia.

Selain itu membaca juga membantu meningkatkan kemahiran berfikir dan menulis saya. Semasa membaca saya sering berhadapan dengan pelbagai idea dan konsep yang memerlukan pemikiran kritis untuk difahami. Aktiviti ini melatih saya untuk menganalisis dan menilai maklumat dengan lebih baik. Selain itu, gaya penulisan  yang saya baca turut memberi inspirasi kepada saya dalam menghasilkan karya tulisan yang berkualiti. Dengan ini, saya dapat memperbaiki kemahiran menulis saya dari masa ke masa.

         Membaca juga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan tekanan. Apabila saya berasa tertekan dengan tugasan atau masalah harian, membaca membantu saya melarikan diri seketika dari realiti dan memasuki dunia fiksyen yang menarik. Buku-buku fiksyen, terutamanya, membolehkan saya menghayati kehidupan watak  yang berbeza dan mengalami pengembaraan yang luar biasa tanpa perlu meninggalkan rumah. Aktiviti ini memberikan saya ketenangan dan membantu saya kembali tenang sebelum menghadapi cabaran seterusnya.

         Hobi membaca juga memupuk nilai-nilai positif dalam diri saya. Banyak buku yang saya baca mengandungi mesej moral yang penting seperti nilai persahabatan, keberanian, dan kejujuran. Melalui kisah yang penuh inspirasi ini saya belajar untuk menjadi individu yang lebih baik. Buku-buku motivasi dan pembangunan diri juga memberi saya dorongan untuk mencapai impian dan tidak mudah berputus asa walaupun berhadapan dengan kegagalan.

         Kesimpulannya membaca buku bukan sahaja memberikan keseronokan, tetapi memberi banyak manfaat dalam kehidupan saya. Oleh itu, saya akan terus menjadikan membaca sebagai hobi utama dan berharap lebih ramai lagi orang akan menyedari faedah membaca dalam kehidupan mereka. Membaca bukan sahaja menjadikan kita lebih bijaksana tetapi juga menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik dan selamat untuk didiami.

Ahad, Jun 09, 2024

Teks Ucapan Perasmian PIBG oleh Pengurus Korporat

Teks Ucapan Perasmian PIBG oleh Pengurus Korporat

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

 Yang Berhormat Tuan Pengerusi, guru-guru, ibu bapa, pelajar-pelajar yang dihormati sekalian,

 Pertama sekali, marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang berbahagia ini untuk majlis perasmian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Saya berasa amat berbesar hati dan berterima kasih atas jemputan yang diberikan kepada saya untuk merasmikan majlis ini.

 Sebagai seorang yang berkecimpung dalam sektor korporat, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang relevan untuk masa depan pendidikan anak-anak kita, terutamanya mengenai ciri-ciri pekerja yang diperlukan oleh sektor korporat, perkembangan kecerdasan buatan (AI), dan kepentingan teknologi dalam pendidikan.

Dalam dunia korporat yang semakin kompetitif ini, terdapat beberapa ciri penting yang amat diperlukan dalam kalangan pekerja. Antaranya adalah:

 1.Kemahiran Komunikasi

Keupayaan untuk berkomunikasi dengan jelas dan efektif adalah asas kepada kejayaan dalam sebarang bidang pekerjaan. Pekerja yang mampu menyampaikan idea dan maklumat dengan baik akan lebih mudah untuk bekerjasama dalam pasukan dan mencapai matlamat organisasi.

 2.Kepimpinan dan Kerja Berpasukan

Keupayaan untuk memimpin dan bekerjasama dalam pasukan adalah kritikal. Pekerja yang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan boleh bekerjasama dengan rakan sekerja akan membawa organisasi ke tahap yang lebih tinggi.

 3.Kemahiran Penyelesaian Masalah dan Pemikiran Kritis

Sektor korporat memerlukan individu yang mampu berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah dengan efektif. Ini termasuk kebolehan untuk menganalisis situasi, mengenalpasti masalah, dan mencadangkan penyelesaian yang inovatif.

 4.Kecekapan Digital

Dalam era digital ini, kefahaman dan kemahiran dalam teknologi adalah sangat penting. Pekerja perlu celik IT dan mampu menggunakan alat-alat teknologi yang relevan dalam pekerjaan harian.

 Perkembangan AI dan Kepentingannya dalam Pendidikan

 Kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan yang semakin penting dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan. AI mempunyai potensi untuk mengubah cara kita belajar dan mengajar. Berikut adalah beberapa contoh bagaimana AI boleh dimanfaatkan:

 1.Pembelajaran Peribadi (Personalized Learning)

 Dengan AI, kita dapat mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih disesuaikan dengan keperluan setiap pelajar. AI boleh menganalisis prestasi pelajar dan menyediakan bahan pembelajaran yang sesuai untuk meningkatkan pemahaman mereka.

 

2.Pembantu Pintar

AI boleh digunakan untuk mencipta pembantu pembelajaran pintar yang boleh membantu pelajar dalam menyelesaikan tugasan dan menjawab soalan mereka pada bila-bila masa.

 

3.Automasi Pentaksiran

AI boleh membantu dalam proses pentaksiran dan penilaian. Dengan automasi, penilaian dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, membolehkan guru menumpukan lebih banyak masa kepada pengajaran.

 

Kepentingan Teknologi dalam Pendidikan

 

Teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Antaranya adalah:

 

1.Akses kepada Maklumat

Teknologi membolehkan pelajar mengakses maklumat dari seluruh dunia dengan mudah. Ini memperluas cakrawala pengetahuan mereka dan menggalakkan pembelajaran berterusan.

 

 

2. Pembelajaran Interaktif

Dengan penggunaan teknologi, pembelajaran menjadi lebih interaktif dan menarik. Alat seperti papan putih interaktif, aplikasi pembelajaran, dan permainan pendidikan membantu pelajar untuk belajar dengan cara yang lebih menyeronokkan dan berkesan.

 

3.Pengurusan Pendidikan

Teknologi memudahkan pengurusan pendidikan, termasuk rekod akademik, komunikasi antara guru dan ibu bapa, serta pengurusan aktiviti sekolah.

 

Hadirin yang dihormati,

Akhir kata, saya berharap agar PIBG akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita. Kerjasama yang erat antara ibu bapa, guru, dan pihak sekolah adalah kunci kepada kejayaan ini. Dengan adanya sokongan semua pihak, saya yakin kita dapat menyediakan generasi masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.