Memaparkan catatan dengan label Karangan Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan Cerita. Papar semua catatan

Selasa, Januari 07, 2020

Karangan Jenis Cerita


KARANGAN BERBENTUK PENGALAMAN


Tajuk : Tulis satu karangan yang bertajuk ‘ Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan’

          Pada tahun lalu, aku menghabiskan cuti persekolahan di kampung bersama datuk dan nenek.

          Pada suatu malam , aku pergi ke rumah Ludin, teman lamaku. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa, kami seronok bercerita. Bila aku sedar malam sudah larut, aku bergegas pulang.

          Dalam perjalanan pulang, hatiku tiba-tiba berasa cemas. Walaupun telah lama berjalan, rumah nenek masih juga tidak kelihatan. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sebuah rumah pun di situ. Bulu romaku berdiri tegak. Barulah aku sedar, rupanya aku tersesat jalan.

          Tiba-tiba di satu selekoh, aku terpandang satu lembaga menuju ke arahku. Aku berasa amat takut sekali. Aku cuba membuka langkah. Tetapi belum sempat aku melangkah, kakiku terpijak benda tajam, lalu terjatuh. Kemudian, aku tidak sedarkan diri.

          Bilaku membuka mata, kulihat aku sudah berada di rumah datuk. Menurut nenek, datuk menemuiku terbaring di tengah jalan ketika keluar mencariku. Aku menceritakan kepada mereka apa yang terjadi. Datuk dan nenek tersenyum sesama sendiri. Rupa-rupanya lembaga yang aku takutkan itu adalah datukku sendiri.

situasi

Keputusan UPSR telah diumumkan . Anda mendapat keputusan yang cemerlang. Bagaimanakah perasaan anda ?

          Saya bersyukur dan bertuah kerana usaha saya selama ini telah pun berhasil. Saya membuat persiapan rapi untuk peperiksaan ini semenjak awal tahun lagi.

          Kejayaan ini juga merupakan kejayaan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan saya. Ini kerana dorongan dan bimbingan daripada mereka menjadi kunci kejayaan saya.

          Saya juga berasa bangga kerana mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa seorang anak kampung daripada keluarga miskin dapat juga berjaya. Saya sedar kemiskinan bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan.


          Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada adik-adik saya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lain.

Sumber :http://rohana-rahman-bm.blogspot.com

Jumaat, Jun 14, 2019

Pengalaman menyaksikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan

     
Hari ini bapa mengajak aku menyaksikan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu. Ketika kami sampai di sana orang ramai telah mula berkumpul di dataran tersebut seawal jam 7 pagi lagi.

Aku melihat ramai pembesar negeri terdiri daripada Menteri Besar dan barisan Exco telah mula berkumpul di sana. Selang setengah jam kemudian Sultan dan Sultanah  Terengganu turut berkenan mencemar duli hadir bersama-sama untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Selain laungan 'Merdeka!' menggemakan suasana,perbarisan dimulakan dengan dengan persembahan dari kumpulan pancaragam Pangkalan  Tentera darat Seberang Takir  diikuti pembawa Jalur Gemilang besar, pembawa Jalur Gemilang kecil, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pancaragam Sekolah Menengah Chung Hwa .

Sultan Mizan kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat utama dari Tentera Darat Malaysia (TDM) sebelum menyaksikan acara perbarisan oleh 3,000 peserta membabitkan 89 kontinjen daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan syarikat swasta.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri. Mereka tidak berganjak menonton perarakan yang diadakan di Dataran Batu Buruk. Walaupun cuaca mula panas terik. Semangat patriotik rakyat negeri ini tidak boleh disangkal apabila setia bersama 89 kontinjen yang menyertai perarakan Hari Merdeka bertemakan Sayangi Malaysiaku.

Pelancong asing turut tidak melepaskan peluang meraikan sambutan yang meriah dengan persembahan tarian, sajak serta bacaan ikrar oleh kanak-kanak hingga remaja, selain turut disertai ahli persatuan vespa, beca, motosikal berkuasa tinggi serta kereta mini.

Selain acara gendang Cina, sajak, dan lakonan, persembahan 'Gempur Tanpa Senjata' oleh ATM turut menggamatkan suasana terutama lompatan dalam gelung api apabila rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang melihat aksi itu.

Pada acara itu, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang bagi empat kategori iaitu Kategori Badan Sukarelawan Uniform Sekolah yang dimenangi Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman.

Sesungguhnya sambutan kali ini amat meriah. Aku amat bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.Inilah pengalaman yang tidak dapat aku lupakan sehingga ke akhir hayat.

Hobi Saya

Karangan cerita


 Hobi ialah aktiviti yang dilakukan pada masa lapang. Semua orang mempunyai hobi. Antara hobi yang biasa dilakukan ialah berkebun,memelihara haiwan, membaca novel,bermain permainan komputer, menonton televisyen dan sebagainya.
      
 Hobi saya ialah bermain bola sepak. Hobi ini saya lakukan pada waktu petang dan pada masa cuti sekolah. selepas menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru saya akan bermain bola bersama-sama rakan di padang permainan berhampiran rumah kami.
    
 Dengan bermain bola sepak badan kita akan mudah mengeluarkan peluh.Melalui hobi ini saya dapat menyihatkan badan. Apabila bermain bola sepak, saya menggunakan banyak tenaga dan pergerakan.  Lemak dan kalori yang berlebihan dapat dibakar. Dengan ini berat badan saya dapat dikawal dan mengelakkan terjadinya obesiti. Saya ingin menjadi pemain terkenal suatu hari nanti dan mewakili negara dalam kejohanan bola sepak dunia.


 Ibu bapa saya sentiasa memberi galakan sepenuhnya kepada saya untuk bermain bola sepak. Mereka menghantar saya ke akademi bola sepak supaya saya dapat belajar teknik mengawal bola secara profesional.Hal ini demikian kerana  dalam permainan bola sepak kita perlu mahir mengawal bola dan melakukan tendangan yang baik.

 Selain itu, melalui hobi ini saya mendapat ramai kawan. Secara tidak langsung saya dapat belajar bergaul dengan orang lain dan merapatkan hubungan persahabatan dengan jiran dan rakan sebaya saya. 
   
 Kesimpulannya, hobi bermain bola sepak memberi pelbagai faedah. Hobi ini akan saya teruskan sehingga dewasa. saya amat  berharap suatu hari nanti  dapat mewakili sekolah, negeri dan negara dalam permainan ini.

Muat turun karangan hobi saya di sini.

Sabtu, Februari 02, 2019

Karangan Cita-cita Saya





Soalan :

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk cita-cita saya


Semua orang ada cita-cita. Sebagai murid , kita boleh memasang pelbagai impian untuk menjadi apa sahaja. Itulah hebatnya cita-cita. Kita akan lebih bersemangat untuk belajar mencapai cita-cita yang kita impikan.Suatu hari nanti saya ingin menjadi seorang doktor.

Di sekolah saya menjadi ahli Kelab Doktor Muda. Pengalaman mengikuti lawatan ke sebuah hospital melihat doktor merawat pesakit membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencapai cita-cita saya. Sesungguhnya ingin menjadi doktor bukanlah tugas mudah. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh. Saya mesti menanamkan minat kepada pelajaran khususnya mata pelajaran Sains.

            Selain itu saya juga memiliki adik  yang sakit saraf. Sekiranya cita-cita saya termakbul, sekiranya adik saya dipanjangkan umur ,saya akan berusaha merawat adik saya sebaik mungkin. Begitu juga orang miskin yang tidak mampu membayar kos rawatan. Sekiranya saya menjadi doktor, suatu hari nanti saya akan memberikan rawatan kepada mereka secara percuma. Itulah azam saya.

            Sesungguhnya, menjadi doktor suatu tugas yang mulia.Pekerjaan ini amat dihormati masyarakat. Membantu orang yang dalam kesusahan atau ditimpa penyakit merupakan satu pertolongan yang sangat mulia.

Semoga cita-cita saya dizinkan tuhan. Setiap hari saya berdoa agar saya berjaya mencapai cita-cita saya. Apa yang paling penting, saya mesti rajin belajar dan berusaha dengan gigih dalam pelajaran.Kejayaan hanya akan datang sekiranya kita berusaha gigih. Suatu hari nanti saya akan bergelar seorang doktor.


Muat turun contoh karangan cita-cita saya di sini 

Jumaat, Februari 01, 2019

Karangan Hobi Saya

 Semua orang mempunyai hobi. Saya juga memiliki hobi. Hobi saya ialah membaca. Saya suka membaca semua jenis bahan bacaan. Selain membaca novel penyiasatan,  saya juga melayari portal akhbar di internet. Banyak pengetahuan yang saya peroleh dengan membaca.

 Saya suka membaca kerana saya suka akan ilmu pengetahuan. Guru saya sering berkata orang yang membaca akan menguasai sesuatu ilmu. Bahkan ibu bapa saya amat menggalakkan saya membaca. mereka sering membelikan saya majalah yang berunsur pengetahuan. Saya juga melanggan e-teknologi, majalah dalam talian yang mengupas isu berkaitan teknologi komputer.

 Saya gemar membaca kerana cita-cita saya ingin menjadi seorang guru. Kehebatan seorang guru  mestilah memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Ilmu tersebut akan dikongsi bersama murid. Sudah tentu guru yang memiliki ilmu yang tinggi akan disayangi semua murid.

 Hobi membaca banyak faedahnya. Saya akan menjadi orang yang sentiasa berfikiran jauh, tahu segala maklumat lebih awal berbanding orang yang tidak membaca. Tambahan pula masa lapang saya akan lebih bermanfaat dan terhindar daripada menghabiskan masa  melayari media sosial seperti aplikasi sembang yang kadang kala menjerumus kita ke kancah sosial yang tidak sihat.

 Oleh itu saya menasihati kawan-kawan supaya memilih hobi yang berfaedah. Kita dikurniakan bakat tertentu. Pupuk bakat tersebut sehingga kita menjadi orang yang berjaya kelak.

Sabtu, Oktober 27, 2018

Kemalangan jalan raya


Karangan Jenis Cerita

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, anda terlihat satu kemalangan jalan raya. Tulis suatu cerita berdasarkan kejadian itu.

Suatu petang saya dalam perjalanan pulang dari sekolah. Hujan turun renyai-renyai. Saya mengayuh basikal dengan perlahan.Tiba-tiba sebuah kereta  yang dipandu laju  melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Saya tergamam.
Saya nekad untuk membantu  walaupun agak takut. Saya menghampiri kereta tersebut. Mujurlah hanya seorang  yang  terlibat dalam kemalangan tersebut. Pemandunya cedera di bahagian kepala. Darah mengalir di dahinya.
Pemandu kereta tersebut telah pengsan. Nasib menyebelahi saya. Pintu kereta berjaya dibuka. Saya mengeluarkannya dari kereta. Saya cuba menariknya keluar, namun tidak berjaya kerana tubuh lelaki itu agak gempal. Kebetulan ramai pemandu lain mula berhenti di situ untuk memberikan pertolongan.
Saya bersama dua orang pemandu lori yang berhenti  di situ , mengeluarkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu. Saya menggunakan kain anduh yang digunakan semasa aktiviti kokurikulum di sekolah untuk membalut kepalanya yang luka.
Setelah itu saya meminta salah seorang pemandu lori itu menghubungi Ambulans dengan telefon bimbitnya. Saya cuba menenangkan  pemandu kereta itu yang mengerang kesakitan.Tidak lama kemudian pihak ambulans tiba. Pemandu kereta itu di bawa ke hospital.
Keesokan harinya saya menziarahi pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu di hospital.Beliau mengucapkan terima kasih atas bantuan yang saya berikan semasa kemalangan tersebut. Saya amat terharu, bangga dan bersyukur kerana berjaya membatu orang yang ditimpa kesusahan.

Ahad, Ogos 27, 2017

Peristiwa yang Tidak Dapat Aku Lupakan

     Suatu hari aku, Karim dan Abu pergi ke sebatang sungai. Cuaca hari itu panas terik.Abu mengajak kami mandi di sungai tersebut. Aku menolak pelawaannya dengan baik. Aku menasihati Abu agar kami tidak meneruskan niat untuk mandi. Aku teringat pesan ibu supaya menjaga diri. Namun begitu, Karim akur dengan pujukan Abu. Aku hanya melihat dari tebing sungai.

    Ketika Abu dan Karim asyik mandi-manda, aku hanya memerhati gelagat mereka.Abu sangat teruja apabila dapat berenang hingga ke tengah sungai.Karim cuba mengikut rentak Abu. Tiba-tiba aku melihat Karim tercungap-cungap sambil tangannya terkapai-kapai meminta tolong. Aku semakin cemas.  Aku menjerit, memberitahu Abu bahawa Karim lemas. Karim semakin tenggelam timbul. Abu cuba menariknya ke tebing sungai.

    Malangnya arus semakin deras. Abu tidak dapat menarik tangan Karim. Dia tidak berupaya melawan arus. Karim terus hanyut sambil tangannya terkapai-kapai meminta tolong. Aku cuma mampu menangis. Aku tidak pandai berenang.

    Abu terus berenang ke tebing. Mukanya pucat. Aku dan Abu mengambil keputusan balik ke rumah. Kami memberitahu kejadian tersebut kepada penduduk kampung. Ketua Kampung mengarahkan anak buahnya segera ke sungai. Ayahku menelefon talian kecemasan 999, menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

    Tiga hari sudah berlalu. Karim masih belum ditemui. Aku dan Abu berasa sangat kesal kerana kami punca Abu lemas dan masih hilang. Aku hanya berdoa agar Karim ditemukan dengan selamat. Abu tidak dapat menahan perasaan sedihnya.

     Akhirnya pada hari keempat, Karim ditemukan di kuala sungai. Mayatnya tersangkut pada rumpun buluh. Aku dan Abu menangis kesedihan. Kami telah kehilangan rakan baik. Aku dan Abu memohon maaf kepada keluarga Karim. Bapa Karim tidak menyalahkan kami. Beliau pasrah dengan takdir. Beliau telah kehilangan anaknya. Aku dan Abu berasa lega. Sesungguhnya peristiwa itu terus menghantuiku sehingga kini. Wajah Karim masih terbayang di ruang mataku. Suaranya masih terngiang-ngiang di fikiranku. Itulah peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat.