Selasa, Disember 07, 2010

sama ada atau samada

Ejaan yang betul bagi sama ada ialah sama ada.Perkataan sama ada  merupakan kata majmuk berbentuk rangkai kata  umum dieja sebagai dua perkataan. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Ahad, November 28, 2010

Lagenda Atau Legenda

Mana satukah yang betul ? lagenda atau legenda.Ejaan yang tepat mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah legenda iaitu cerita dongeng yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah. 

Rabu, November 17, 2010

Teruja

Makna perkataan "teruja" ialah timbul minat (keinginan dan sebagainya) yang kuat terhadap sesuatu, naik semangat, terangsang (Kamus Dewan Edisi 4)

Sumber:Kamus Dewan Online

Selasa, November 16, 2010

Perbezaan Menasihati dan Menasihatkan

Bezanya ialah perkataan menasihati mestilah diikuti dengan orang. Contohnya, menasihati Ali....

manakala

menasihatkan mestilah diikuti dengan sesuatu,contohnya, menasihatkan berbuat kebaikan

Sumber : Kamus Dewan Online

Imbuhan memper......kan

Tahukah anda jumlah dan perkataan yang boleh menerima imbuhan memper-----kan. Ada yang berpendapat imbuhan ini seakan-akan bentuk lewah dalam bahasa Melayu, tetapi tidak sebenarnya.

Memper...kan bergabung dengan kata nama dan kata kerja membentuk kata kerja. 

Contoh: 

memperisterikan;mempersendakan;memperjodohkan;






memperdengarkan;
memperlihatkan;memperbahaskan. 

bentuk yang lewah ialah bentuk terbitan dengan apitan memper...i seperti memperolehi,memperbaiki,memperakui. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu hal. 198-201. 

Peribahasa dalam karangan ditulis terus bersama-sama dengan ayat yang dibina. 

Contoh: 

Dia bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Sumber : Kamus Dewan Online

Santap




Makan atau minum (digunakan oleh raja-raja): 

Baginda telah bersantap bersama-sama gabenor itu. 

menyantap memakan atau me­minum: 
Baginda sedang menyantap  makanan yang disajikan. 

santapan =  makanan atau minuman; 
apa-apa yg disantap.

persantapan  = hidangan makanan atau minuman.

Isnin, November 15, 2010

Bersemayam


1.duduk di atas takhta atau singgahsana (bkn raja):
Baginda pun ~ di atas singgahsana dihadap oleh segala menteri.





2 duduk atau tinggal di (bkn raja-raja); berkediaman di:
Baginda kemudian telah ~ di Riau pula.

Iram-iram

Sejenis  payung kuning yang bahagian tepinya berlipat-lipat dan terumbai-umbai (untuk  raja-raja).

Ahad, November 14, 2010

Kaus

kasut, sepatu:

Contoh ayat :






Kaus ini merupakan hadiah daripada Maharaja India.

Peroleh Atau Perolehi

i. Kata sendi nama 'oleh' digunakan untuk menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif dan juga untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Kata sendi nama 'kepada' digunakan  untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan di atas, kedua-dua kata sendi nama betul dan boleh digunakan dalam frasa tersebut. 

ii. Yang betul sebatang anak panah.

iii.  Perkataan yang betul ialah 'peroleh' daripada bentuk kata kerja transitif 'memperoleh' bukan 'memperolehi'. 

iv. Ayat 'Buku di perpustakaan tebal-tebal belaka' betul.  Ayat ini bermaksud semua buku di perpustakaan tebal.    

Sumber : Kamus Dewan Online

Rabu, Ogos 25, 2010

Canting




1.Sejenis alat daripada tembaga yang digunakan sebagai bekas lilin cair untuk melukis corak pada kain;

  Canting cap  - alat untuk mencetak kain;

2. pencedok kecil (untuk mencedok minyak dll);

3. pencedok air (dibuat daripada buluh dll).

Sembah salam

Membawa maksud :

sujud hormat dan khidmat






Digunakan dalam urusan surat-menyurat kepada orang yang dihormati dan sebagainya.

Penggunaan Amat dan Sekali



Kata penguat bebas,  amat,sungguh dan sangat boleh diikuti oleh kata penguat belakang sekali.Hal ini demikian kerana kata penguat tersebut tidak mendukung maksud darjah penghabisan.


Contoh ayat :

Masakan ibu amat enak sekali.

Dalam bahasa Melayu, imbuhan teR- dan kata penguat sekali dan paling sudah menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan teR- atau sekali atau paling. Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak. Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan teR-, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi. Begitu juga sebaliknya.

Selasa, Ogos 24, 2010

Di Kalangan Atau Dalam Kalangan

Frasa yang biasa digunakan ialah 'di kalangan' dan 'dalam kalangan' jarang terdapat penggunaan frasa 'pada kalangan'. 

Frasa yang paling tepat ialah 'dalam kalangan' kerana sendi nama 'di' merujuk kepada masa dan tempat. 

Kata 'kalangan' bermaksud: lingkungan, golongan. 

"Dalam kalangan" lebih tepat sebab menunjukkan "termasuk", "bersama-sama" atau "terlibat sama" 

sedangkan "di kalangan" bermaksud arah dan tempat.

Sekiranya 'di' dibubuh pada kata ini, contoh: di golongan, maka jelas kelihatan bahawa 'di' atau 'pada' tidak sesuai dipadankan di situ.



Contoh ayat :




Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini kian meruncing


Taasub Atau Taksub

Mana satukah yang betul ?

Frasa yang betul adalah seperti yang berikut:

 Taasub 

Merujuk Kamus Dewan kata "taasub" ialah kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang, fanatik: 


Sumber : Kamus DBP Online








Orang Yahudi sangat taasub dan amat berbangga dengan keturunan dan kaum mereka sehingga sanggup menindas rakyat Palestin



Ahad, Ogos 22, 2010

Kawad Atau Kawat

Sering berlaku kekeliruan  sama ada perkataan kawad kaki dieja sebagai kawat atau kawad ?





Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, kawad bermakna perbarisan oleh anggota pasukan seragam, terutamanya tentera dan polis yang melibatkan pergerakan kaki, tangan dan badan serentak.



Kawat pula ialah tali yang dibuat daripada logam (spt tembaga dll). 
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.





Satu pasukan Askar Melayu Diraja akan berkawad di Stadium Merdeka. 


Sabtu, Ogos 14, 2010

Murtabak Atau Martabak

Yang mana betul ? 
a) martabak 
b) murtabak

Ejaan yang betul ialah martabak. Untuk mengetahui ejaan atau makna perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sumber : Kamus DBP Online

Isnin, Ogos 09, 2010

Gusar

berang, marah: 
ia menunjukkan ~nya kpd saya; 
menggusari memarahi: jangan digusari orang tua itu; 
menggusarkan menimbulkan rasa gusar, menyebabkan marah: 
jawaban anaknya itu semakin ~nya; 
mati di medan jihad bagi orang Mukmin bukanlah sesuatu yg ~; 
kegusaran perihal gusar, kemarahan: 
sepanjang minggu orientasi itu berjalan, penuntut-penuntut baru sering berada dlm keadaan ketakutan, ~ dan tidak tenteram.

Celaru



Bercelaru tidak tentu arah, tidak beraturan (berketentuan, keruan, dll), 
kacau-­bilau: rancangan kita yg ~ ini; mencelarukan menyebabkan celaru, me­ngacau-bilaukan: ~ fikiran; kecelaruan perihal bercelaru (bkn keadaan, fikiran, dll), 
keadaan kacau-bilau: ~ yg wujud apabila agama Taoisme, Hindu, dan Islam dianggap sama sudah jelas menunjukkan kejahilan.

Rabu, Ogos 04, 2010

Sungguh Cantik

Soalan

Anak saya akan mengambil PMR pada Oktober ini, tetapi dia masih keliru dengan tatabahasa seperti berikut:

1. Sungguh amat cantik sungguh kurang sopan terlalu amat kencang .Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan?

2. Amat nyaring betul amat sukar sekali sungguh indah nian sungguh besar sekali sungguh kuat benar Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan/ belakang?

3. (i) Ali dianugerahi pingat oleh sultan 
(ii) Ali dianugerahkan sultan pingat
(iii) pingat dianugerahkan oleh sultan kepada Ali 

Adakah ayat (i) , (ii) (iii) semuanya betul? Mana yang salah. 

Jawapan

1. Contoh yang diberikan adalah salah. Yang betul: Sungguh cantik, amat cantik, teramat cantik, terlalu kencang, amat kencang, teramat kencang.

2. Dalam bahasa Melayu, imbuhan teR- dan kata penguat sekali dan paling sudah menunjukkan darjah penghabisan.  Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan teR- atau sekali atau paling.  Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak.  Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan teR-, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi.  Begitu juga sebaliknya.

3. Ketiga-tiga jawapan adalah betul. 


Kata Penguat

Terdapat tiga jenis kata penguat:

A. kata penguat hadapan, iaitu yang terletak di hadapan frasa atau kata adjektif. 

Contoh: terlalu, paling, agak, cukup; 
 
contoh ayat: 


pokok itu terlalu tinggi; 
masakannya paling enak;
pemandangan di tasik itu cukup indah
harga emas makin mahal;
jawapannya kurang tepat;

B. Kata penguat belakang, iaitu kata yang letaknya di belakang kata adjektif.

Contohnya: 
sekali, benar, betul dan nian
Contoh ayat:
kelakuannya baik sekali; 
lambat benar dia datang; 
indah nian istana bunian;
keputusan peperiksaannya buruk betul; 

C. Kata penguat bebas, letaknya boleh di hadapan atau di belakang kata adjektif. 
Contoh: amat, sangat, dan sungguh. 
Contoh ayat: 
Pakaiannya amat kemas=kemas amat pakaiannya; 
harganya sangat mahal=mahal sangat harganya; 
sungguh sedih kisahnya= kisahnya sungguh sedih.

Selasa, Ogos 03, 2010

Daripada

1. kata sendi nama utk menerangkan asal (sumber, bahan dll) sesuatu benda: Kain ini dibuat ~ benang sutera.

2 .kata sendi nama utk menyatakan perbandingan (perbezaan) antara dua benda atau lebih: Bunga ini lebih wangi ~ bunga itu. Bezakan haiwan jenis mamalia ~ haiwan jenis reptilia. 

3. kata sendi nama yg menyatakan maksud mencegah (melindungi, memisahkan dll): Dia menjauhkan diri ~ bahaya. Dia mencuba melarikan diri ~ rusuhan itu.

4. kata sendi nama yg menunjukkan orang yg memberi (mengirim): Yati menerima sepucuk surat ~ ayahnya.

5. kata sendi nama yg menunjukkan perubahan: Peratus kelulusan meningkat ~ 70% menjadi 85%. 

6. kata sendi nama yg menghubungkan sebahagian dgn keseluruhan: Dua orang ~ anaknya belajar di luar negeri. Faedahnya ialah separuh ~ keuntungan yg diperoleh.

Nian

1. terlalu sangat, amat, benar, sungguh: 


Indah nian pulau itu.




bodoh nian orang itu; 

2. kata untuk menguatkan maksud kata sebelumnya: 

ada pun harta ayahanda sudah tentu nian  tidak akan pulang lagi pada ayahanda.


sebentar nian =sebentar sahaja.

Isnin, Ogos 02, 2010

Olahragawan Dan Olahragawati



Olahragawan

orang lelaki yang terlatih, mahir atau mengambil bahagian dalam olahraga;



Olahragawati

orang perempuan  yang terlatih, mahir atau mengambil bahagian dalam olahraga;

Sekawan

Penjodoh bilangan untuk burung ,tebuan dan sebagainya.



Sekawan burung

Gerombolan

Kumpulan orang jahat - perusuh ,lanun dan sebagainya.

Gerombolan lanun itu telah merampas binatang ternakan dan barang-barang makanan daripada penduduk kampung.

Lembar

Penjodoh bilangan untuk benda yang panjang atau yang luas bidangnya (tali, benang, kertas dll)

Ahad, Ogos 01, 2010

Kaki

Penjodoh bilangan bagi beberapa benda:

tiga ~ bunga

se~ payung.

Rawan

Penjodoh bilangan utk beberapa benda (spt kancing baju, jala dll) yg bererti selengkap:
 
se~ jala

se~ kancing baju 

se~ tali.

Rabu, Julai 28, 2010

Contoh Karangan Berita


Karangan jenis berita

1. Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.

2. Berita mesti menjawab soalan Apa ? Siapa ? Bila ? Mengapa ? Di Mana ? dan Bagaimana?

3. Apa ?
menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi persoalan berita
memberi maklumat kepada keseluruhan berita

4. Siapa ?

nama yang terlibat perlu penjelasan lengkap
jika perlu sertakan usia pelaku

5. Bila ?

menerangkan masa peristiwa itu berlaku
tarikh yang tepat
untuk kejadian jenayah ataupun kemalangan perlu letakkan waktu’

1. Mengapa ?
sebab-sebab peristiwa berlaku
jika sebab-sebab belum diketahui , nyatakan “belum diketahui” atau “pihak polis belum mendapat bukti”

2. Di mana ?
tempat kejadian peristiwa
jika nama tempat kurang diketahui umum sebagai contoh, daerah yang terpencil, letakkan sekali nama negeri

Bagaimana ?
menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangannya.

3. Mulakan penulisan dengan mencatatkan ‘tempat’ (huruf besar) diikuti dengan tarikh peristiwa itu berlaku. 

Contoh : DUNGUN, 28 Julai -

Tulis secara ringkas tentang saripati peristiwa yang berkenaan termasuk tarikh dan masa peristiwa itu berlaku. (Sebaik-baik tulis saripati kepada peristiwa yang berkenaan dalam satu perenggan sahaja.)
4. Pastikan agar pengenalan kamu dapat menarik perhatian pembaca.
5. Gunakan bahasa yang ringkas tetapi padat.
6. Perenggan yang berikutnya ialah tentang huraian-huraian yang lebih ‘panjang-lebar’.
7. Nyatakan bahagian penutup secara ringkas 

CONTOH KARANGAN BERITA

SOALAN;

Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di Kuala Lumpur. Andaikan bahawa anda seorang pemberita,tuliskan berita tentang kejadian tersebut. Panjang karangan berita anda hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Rangka.

1. PENDAHULUAN:
Sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta -sekitar bandar raya.

2. ISI
a)       berjaya mengesan beberapa kereta curi-siasatan dibuat beberapa minggu lalu-beberapa orang ditahan.
b)              membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta - di Jalan Ipoh - lima  orang ditahan -salah seorang ialah
          pakar mekanik.
c)       polis menjumpai kepingan-kepingan pintu kereta -beberapa plat nombor palsu dijumpai di bengkel tersebut.

3.PENUTUP

          seorang lelaki dicari -dapat membantu polis-orang ramai diminta memberikan maklumat tentang lelaki
berkenaan.

CONTOH KARANGAN.

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.

          Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

          Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik

          Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.

          Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Mutusamy .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan.

Sabtu, Jun 26, 2010

Format Karangan Laporan

Karangan Jenis Laporan.
  
 Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.
Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami. 
 Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau logik.
Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.
Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha. 
  Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

 Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.
Gunakan bahasa yang ringkas dan padat

Tajuk Laporan      

 Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris. 
atau ditulis dengan huruf besar semuanya. 
Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah.
Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang.

Isi Laporan   :       
Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor:        
Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir.

Tarikh          :       
Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.

Tandatangan pelapor      
  Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor         :     
Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor   :
Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma  di 
hujungnya .

Seterusnya            ditulis nama persatuan yang diwakili

Khamis, Jun 10, 2010

Biodata Tun Dr Mahathir

     Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.


Beliau merupakan anak bongsu dari sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII  College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

       Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

       Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

     Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn  atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.


      Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Kata Pemeri

Kata pemeri 
perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa utama dalam prediket.
 
Terdapat dua jenis  kata pemeri :

  •  ialah
  •  adalah.
Kata pemeri ialah diletakkan di hadapan kata nama atau frasa nama.
 
Kata pemeri adalah diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
 
Contoh ayat
 
Perempuan yang berambut pendek itu ialah kakak saya.
Aiman adalah antara pelajar yang cemerlang di sekolah itu.
Nasi goreng ialah makanan kegemaran saya.
Tarikh tutup peraduan itu adalah pada hari Selasa.

Penanda Wacana BM Kertas 2 UPSR

Penggunaan Penanda Wacana yang sesuai mempengaruhi markah BM bahagian B dan C Kertas 2 UPSR


Bahagian B

Penanda wacana menghubungkan satu perenggan dengan perenggan yang lain.



Bahagian C

Penanda wacana menghubungkan ayat pertama dengan ayat kedua.


Contoh penanda wacana yang digunakan :
Selain itu,
di samping itu,
seterusnya,
akhir sekali


Penanda Wacana

Perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau berucap.

Contoh :

1. Tambahan - dan , serta , lagi , tambahan lagi , tambahan pula , selanjutnya , seterusnya , di samping

2. Urutan - pertama , kedua , seterusnya , selepas itu , kemudian , kemudian daripada itu , akhirnya.

3. Penyataan semula : yakni , dengan kata lain , seperti yang diterangkan

4. Contoh - contohnya , sperti , ibarat , laksana , macam, umpama, bagai , bak kata , sebagai

5. Rumusan - kesimpulannya , rumusannya, sebagai kesimpulan , akhir kata , sebagai penyimpul kata

6. Tempat - berhampiran dengan , bersebelahan dengan , bertentangan dengan
7. Waktu - apabila , ketika, semasa , kemudian , selepas,pada,mulanya,lama-kelamaan , lambat -laun, akhirnya

8. Sebab dan kesan -  oleh itu , sebab itu , fasal,lantaran jadi

9. Bandingan - seperti juga , sama dengan , sesuai dengan,

10.Pertentangan - tetapi , sebaliknya ,sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, 

11. Pengesahan - sebenarnya , sesungguhnya, sewajarnya, tentulah , sememang