Tun  Dr. Mahathir    dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925.  Putera kepada    pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti  Wan Hanafi ini    dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais,  bersebelahan  dengan    Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar,  Kedah.
   Beliau    merupakan anak bongsu dari  sembilan orang adik-beradik. Dr.    Mahathir memulakan alam persekolahan  di Sekolah Melayu Seberang Perak    pada tahun 1930 selama dua tahun.  Beliau melanjutkan pengajian  menengah    di Goverment English School,  Alor Setar yang kini dikenali sebagai  Kolej    Sultan Abdul Hamid.     Beliau tamat  dengan    keputusan Senior Cambridge yang  cemerlang pada tahun 1945.
   Dalam tahun 1947,     selepas  tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah    ditawarkan  biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang    perubatan di  King Edward VII  College of Medicine, Singapura. Semasa  di    Kolej,  beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan    bersungguh-sungguh  dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan  sentiasa    mengambil  berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.
         Pada tahun 1953,    beliau  telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari    University  of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir    telah  memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor     pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir     telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar     bagi memenuhi kontrak biasiswanya.    Beliau    juga  telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.
         Perkenalan     dengan  seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini    Tun  Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King      Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan     pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di   Singapura    telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan  sebagai  suami    isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah  dikurniakan tujuh    orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka  Marina), Mirzan,    Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz (  kini Datuk Mukriz),    Maizura dan Mazhar.
     Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana     Menteri oleh Tun Hussien Onn  atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah      dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada  usia     55 tahun.
   Dr.    Mahathir digelar  "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang     paling lama  memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16    Julai 1981  hingga 31 Oktober 2003.
        Sepanjang tempoh  22    tahun sebagai  Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke    persada  kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan    fizikal,  mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang  disegani    dan  dihormati di pentas dunia.    Malaysia     mampu berdiri  sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan  negara-negara    maju  dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah  negara     Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka     yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana     sahaja.
