Jumaat, Jun 14, 2019

Punca Kemalangan Jalan Raya

Punca berlakunya kemalangan di jalan raya.

Hampir setiap hari berita tentang kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan parah, kehilangan nyawa dan kerugian harta benda disiarkan melalui media massa dan sosial. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemalangan adalah satu masalah serius yang perlu ditangani bersunguh-sungguh.

Banyak faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Kecuaian manusia dikatakan antara faktor utama. Ramai pemandu dan penunggang kenderaan yang gemar memandu secara cuai dan melulu. Mereka tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, ada pemandu yang gemar memotong kenderaan lain di selekoh yang mempunyai garisan berkembar. Bahkan ada pemandu yang memandu melawan arus. Perbuatan begini amat berbahaya kepada diri sendiri dan pemandu lain.

Selain itu, keadaan kenderaan juga punca kepada berlakunya kemalangan. Ramai pemilik kenderaan tidak menyelenggara kenderaan mereka  dengan baik. Keadaan ini menyebabkan komponen kenderaan seperti brek dan tayar tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik dan mudah terbabas ketika memandu.

Kemalangan juga berpunca daripada keadaan jalan raya. Permukaan jalan raya  yang  tidak rata , dan berlubang-lubang amat berbahaya kepada pemandu. Pemandu yang kurang pengalaman ketika melalui laluan tersebut sukar untuk mengawal kenderaan mereka dan amat berisiko mengalami  kemalangan.

Di samping itu, kemalangan jalan raya juga berpunca daripada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu.  Hal ini menyebabkan mereka tidak memahami undang-undang dan peraturan jalan raya. Mereka  tidak mendapat tunjuk ajar dan latihan yang diperlukan. Bahkan akan terdorong memandu atau menunggang secara tidak berhemah.  Keadaan sebegini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

Kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya. Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu menggemblengkan tenaga dan usaha secara lebih giat bagi mengatasi masalah kehilangan nyawa dan harta benda akibat kemalangan jalan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan