Memaparkan catatan dengan label Bahagian C. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahagian C. Papar semua catatan

Rabu, Februari 06, 2019

Faedah Menabung

Soalan :

Tuliskan sebuah karangan tentang faedah menabung.


Pendahuluan - menabung amalan mulia

Isi 1 - mendidik kita berjimat-cermat
Isi 2 - menggunakan wang ketika kecemasan
Isi 3 - sebagai persediaan masa hadapan
Isi 4 - mendapat keuntungan

Penutup - menabung banyak faedah 



 Menabung satu amalan mulia. Peribahasa berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit sesuai untuk dikatkan dengan tabiat menabung. Banyak kebaikan yang kita dapat dengan menabung.

 Amalan menabung mendidik kita untuk berjimat-cermat. Kita akan lebih berhati-hati dalam berbelanja. Kita hanya membeli barang yang perlu sahaja. Selebihnya disimpan sebagai tabungan. Kita boleh menyimpan wang tersebut di dalam tabung atau sebagai simpanan tetap di bank. Bahkan kita sebenarnya dapat mengelak tabiat suka membazir.

 Dengan menabung, kita dapat menggunakan wang tersebut ketika waktu kecemasan. Kita tidak dapat menjangka hal yang berlaku kepada kita dan keluarga. Wang yang disimpan sedikit sebanyak dapat membantu ketika kita memerlukannya untuk rawatan perubatan atau kecemasan.Inilah kelebihan menabung.

 Selain itu amalan menabung juga adalah satu persediaan untuk masa hadapan. Wang ini sangat berguna ketika kita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Kita boleh membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebagai tabungan kita kelak. Oleh itu kita tidak perlu runsing perbelanjaan kita di universiti nanti  kerana kita telah menabung dari sekarang. 

 Akhir sekali, dengan menabung kita boleh mendapat keuntungan. Simpanlah wang anda dalam akaun simpanan tetap di bank. Pihak bank akan membayar faedah kepada kita mengikut kadar dan tempoh simpanan. Oleh itu lebih lama wang disimpan, lebih tinggi kadar faedah yang akan diberi.

 Sesungguhnya menabung banyak faedahnya. Kita harus menabung sejak dari kecil. Dengan menabung kita telah berjaya mengatasi kesempitan wang ketika menghadapi waktu sukar. 


Majlis Perpisahan Guru Kelas


Soalan
Karangan Ucapan : Majlis Perpindahan Guru Kelas

Guru kelas kamu akan berpindah ke sekolah lain. Sebagai Ketua Kelas, kamu diminta menyampaikan ucapan tersebut dalam satu majlis perpisahan.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, yang dikasihi para guru, yang diraikan Cikgu Shasya, guru kelas serta rakan-rakan sekalian.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mewakili murid kelas 6 Usaha untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Kami semua berasa amat sedih setelah mendengar berita Cikgu Shasya, guru kelas kami akan berpindah ke sekolah lain. Inilah saat yang amat kami takuti.Namun apakan daya. Perpisahan adalah lumrah dan tidak dapat dielakkan.

Hadirin sekalian,

 Cikgu Shasya sudah 10 tahun berkhidmat di sekolah ini. Beliau mengajar kami mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni di kelas kami. Beliau  seorang yang guru yang sangat baik hati, penyayang dan berdedikasi. Beliau mengajar kami dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan jemu.

 Sesungguhnya Cikgu Shasya telah banyak menyumbang jasa kepada sekolah kita. Ramai murid Tahun Enam mendapat gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Hadirin yang dihormati,

 Cikgu Shasya merupakan guru penasihat pasukan bola jaring SK Merbau Patah. Beliau komited melatih pemain bola jaring untuk meningkatkan kemahiran dan stamina. Pada tahun 2018, sekolah kita telah merangkul juara bagi pertandingan bola jaring bawah 12 tahun peringkat kebangsaan.   

 Akhir kata, kami mendoakan semoga cikgu gembira dan bahagia di sekolah baharu. Kami akan sentiasa mengingati cikgu. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

                      Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
               
Sekian, terima kasih.


Selasa, Februari 05, 2019

Faedah Membaca

Soalan :

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk faedah membaca

Soalan:

Berikan faedah membaca.

 Membaca adalah jambatan ilmu. Amalan membaca adalah satu sifat yang mulia. Orang yang membaca akan menguasai dunia.Begitulah hebatnya kuasa membaca.

 Banyak faedah sekiranya kita rajin membaca. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara terkini. Zaman internet menjadikan kita memiliki banyak maklumat.  Contohnya melalui surat khabar dan portal akhbar dalam talian. Akhbar dan portal dalam talian merupakan sumber maklumat terkini yang menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

 Dengan membaca kita dapat mengisi masa lapang. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Oleh itu, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti berbual-bual kosong , melepak di pasar raya, asyik dengan permainan komputer dalam talian dan telefon bimbit dan sebagainya.

 Di samping itu, dengan membaca, kita  boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Melalui pembacaan buku Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kita boleh menambah perbendaharaan kata yang baharu. Justeru kita akan boleh menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam kedua-dua bahasa tersebut.

 Akhir sekali, membaca dapat  mematangkan fikiran kita. Dengan membaca kita dapat membezakan sesuatu perkara tersebut boleh membawa kebaikan atau keburukan. Oleh itu kita boleh membuat pilihan dengan bijak dan tidak mudah ditipu oleh orang yang cuba mengambil kesempatan terhadap kita.

 Kesimpulannya, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu.

Faedah Menyertai Kegiatan Ko kurikulum

 Soalan :

 Berikan faedah menyertai kegiatan ko kurikulum


 Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah. Antaranya termasuklah aktiviti unit beruniform seperti Pengakap ,Bulan Sabit Merah ,Puteri Tunas dan sebagainya. Aktiviti sukan pula termasuklah acara sukan bola sepak ,bola keranjang, olah raga dan sebagainya.

 Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, kita akan dapat menambah pengetahuan dan pengalaman. Aktiviti perkhemahan pengakap mengajar kita cara hidup berdikari di dalam hutan. Oleh itu kita dapat belajar teknik memasak menggunakan dapur kayu, cara untuk memasang khemah dan lain-lain. Sudah tentu kita juga akan dapat merasai pengalaman berharga  tidur di atas lantai hutan berbanding tidur di rumah yang selesa.

 Di samping itu kita juga dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah. Melalui kegiatan kokurikulum kita terlibat dengan pelbagai aktiviti. Sekiranya kita aktif dalam bidang sukan bola sepak, sudah tentu latihan akan diadakan setiap petang.Oleh itu kita terhindar daripada perbuatan melepak dan membuang masa dengan sia-sia.

 Selain itu, kegiatan kokurikulum boleh menyihatkan tubuh. Dengan menyertai aktiviti sukan badan kita akan sentiasa segar, otak pula semakin cerdas. Sekali gus mengelakkan kita daripada ditimpa sebarang penyakit seperti demam selsema dan sebagainya. 

 Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan semua rakyat Malaysia. Setiap kelab dan persatuan mempunyai ramai ahli. Tambahan pula  ahli persatuan terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Apabila aktiviti secara kumpulan dilakukan, kita saling bertukar buah fikiran sekali gus merapatkan hubungan antara satu sama lain.

 Akhir sekali kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Melalui kegiatan unit beruniform seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah , kita perlu berpakaian kemas, sentiasa mematuhi peraturan dan mendengar arahan ketua. Secara tidak langsung,kita dapat membentuk jati diri yang kental seperti amanah dan bertanggungjawab dalam setiap tugas yang diberikan kepada kita. 

 Oleh itu kegiatan kokurikulum banyak faedahnya.Semua murid harus merebut peluang untuk menyertai setiap aktiviti kokurikulum di sekolah. Murid yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.




Kegunaan Air Kepada Manusia

Soalan : 

Berikan kegunaan air kepada manusia.


 Semua benda hidup memerlukan air. Tanpa air semua hidupan akan mati. Oleh itu air banyak kegunaannya kepada manusia.

 Air digunakan sebagai sumber minuman kepada manusia. Kita perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Apabila air mencukupi , tubuh kita akan lebih cergas dan terhindar dari penyakit seperti sembelit dan sebagainya akibat kurang minum air. 

 Di samping itu air juga digunakan untuk membersihkan tubuh yang kotor. Kita terdedah dengan kotoran selepas melakukan aktiviti di luar rumah. Dengan mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, tubuh kita akan kembali bersih dan sihat. Bahkan penyakit berjangkit seperti kudis buta dan sebagainya tidak akan mudah menjangkiti  kita.
  
 Para petani amat memerlukan air. Mereka akan menyiram sayur-sayuran untuk mengelakkan tanaman mati dan terus hidup subur. Begitu juga dengan penternak. Mereka akan memberi ternakan minum sekurang-kurangnya sekali sehari untuk memastikan ternakan seperti lembu dan kambing terus hidup sihat sebelum dijual kepada pembekal daging.

 Manusia juga menggunakan air untuk menghasilkan tenaga elektrik. Kemajuan teknologi menyebabkan banyak empangan dibina untuk menjana tenaga elektrik. Tenaga daripada air digunakan untk memutar dinamo dan menghasilkan kuasa elektrik kepada rumah dan kilang-kilang.

 Oleh itu air banyak kegunaannya kepada manusia. Kita perlu menghargai sumber air dan tidak membiarkannya tercemar.  

Sabtu, Oktober 27, 2018

Faedah Mengikuti Kelas Tambahan


Ramai murid mengikuti kelas tambahan. Kelas ini diadakan  selepas waktu pembelajaran formal di sekolah. Ada kelas tambahan yang disediakan secara percuma. Ada kelas tambahan berbayar yang dianjur oleh pihak swasta. namun matlamat  kelas ini adalah untuk persediaan menghadapi peperiksaan UPSR , PT3 , SPM dan STPM


Dengan mengikuti kelas tambahan, seorang murid dapat menambahkan pemahaman sesuatu subjek dengan lebih mendalam. Ada ketika subjek di ajar guru tidak sempat di habiskan semasa pembelajaran formal disebabkan kekangan masa dan faktor lain.Oleh itu pelajaran yang tertinggal tadi di ajar melalui kelas tambahan. 

Selain itu murid yang mengikuti kelas tambahan dapat meningkatkan penguasaan teknik menjawab soalan peperiksaan. Kelas tambahan agak berbeza dari pada kelas formal. Biasanya kelas tambahan akan berfokus kepada peperiksaan. Di sini semua murid menjawab soalan secara lebih mendalam dan latih tubi soalan peperiksaan. Tambahan pula guru akan cuba mengajar teknik menjawab dengan betul  bagi soalan yang berkaitan subjek diajar.

Kita juga dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah semasa mengikuti kelas tambahan. Kita  tidak akan membuang masa dengan menonton televisyen terlalu kerap, bermain permainan video dan bersembang dalam talian seperti 'Whatsapp' dan 'Facebook' sehingga mengabaikan pelajaran.

Banyak sekolah yang menganjurkan kelas tambahan percuma kepada murid-muridnya. Dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan syarikat korporat sanggup menaja kelas tambahan percuma kepada murid. Oleh itu ibu bapa dapat  menjimatkan kos perbelanjaan daripada menghantar anak-anak ke pusat tuisyen berbayar.Justeru secara tidak langsung dapat membantu meringankan bebanan kewangan ibu bapa murid.


Oleh itu kelas tambahan banyak kebaikannya. Semua murid perlu manfaatkan sebaik mungkin. Sementara ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka mengikuti kelas tambahan demi  kejayaan murid itu sendiri.